Tuesday, May 31, 2011

Pengajian Di Kuliah Atau Secara Talaqqi??

      
       Adalah sewajarnya kita menginsafi keadaan di zaman ini terutamanya di zaman ini yang terdapat segolongan orang yang berbangga dengan segulung ijazah yang diperolehi sama ada dalam bidang agama atau bukan. Kadang-kadang mereka tidak memperolehi ilmu dengan jalan talaqqi melalui para masyaikh amilin. Mereka kadang-kadang tanpa rasa segan silu menonjolkan diri sebagai seorang alim yang mengetahui hukum-hakam  malah berani merendah-rendahkan para ulama’ seolah-olah tidak sama dengan ayat Al-Quran atau hadis yang mereka pelajari. Apa yang zahir dari ucapan mereka tidak lain hanyalah menunjukkan jauhnya mereka dari penguasaan ilmu agama yang sepatutnya. Ada juga umpamanya yang memaksa diri untuk bercakap mengenai hukum-hakam sedangkan dia sangat asing dengan dunia feqah dan fatwa. Ada juga yang berfatwa haram tentang tasawwuf tetapi amat jauh dari hal dan maqam. Ini terjadi kepada mereka yang memegang ijazah dalam bidang agama. Bagi yang bukan dalam bidang agama tentulah lebih mudharat lagi.
      Di sini bukanlah salah untuk belajar dan memiliki segulung ijazah. Ia juga bukanlah bermakna memiliki ijazah lalu tidak mahu menyampaikan ilmu agama dan memanfaatkan kepada orang lain. Belajar dan menyampaikan ilmu agama serta memanfaatkannya adalah sesuatu yang dituntut dalam agama tetapi ia juga tidak bermakna hanya dengan memiliki ijazah lalu merasakan diri sebagai ulama’ atau ahli hukum. Apa yang selalu menjadi ingatan ialah menginsafi diri dengan melihat kemampuan diri dan kefahaman agama (tafaqquh) diri sendiri sama ada memiliki ijazah dalam bidang agama atau bukan dalam bidang agama dan menyerahkan urusan agama terutama sekali yang melibatkan hukum hakam kepada ulama’ yang berkelayakan agar ia tidak membicarakannya tanpa ilmu dan mengikut hawa nafsu.
         Di sini dinukilkan apa yang telah ditulis oleh Sayyid Hassan bin Ali as-Saqqaf di dalam nota kaki bukunya Shahih Shifah Sholah an-Nabi yang menukilkan tulisan gurunya iaitu Al-Muhaddith Sayyid Abdullah bin Shiddiq al-Ghummari di dalam kitabnya Ar-Radd al-Muhkam al-Matin:

“ Sekiranya kamu meyakini bahawa kertas ijazah yang kamu dapat boleh menjadikan kamu berada dalam kelompok para ulama’ dan boleh membawamu bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu, maka kamu telah salah dalam keyakinanmu itu, serta sangat jauh dari kebenaran.

Tidakkah kamu tahu bahawa kertas ijazah inilah yang kadang-kadang merosakkan ilmu, bahkan mematikannya serta menjadikan orang-orang yang jahil sebagai ulama’.

Dan musibah yang lebih besar ialah apabila orang awam menjadikan orang jahil ini sebagai tempat rujukan kepada mereka dalam masalah-masalah hukum agama, sedangkan dia sendiri adalah tidak mengerti hukum seperti orang awam juga, tidak melebihi mereka sedikitpun, Cuma yang bezanya dia memiliki ijazah.

Kerana seorang alim yang menjadi keutamaannya adalah ilmu. Dia tidak terpedaya dengan kertas atau beberapa lembaran ijazah. Seorang alim adalah selalu tekun menelaah kitab-kitab dan selalu mengadakan pengkajian.

Ijazah (yang ada pada zaman sekarang) adalah sesuatu yang baru (kerana ia tidak wujud pada zaman ulama’ dahulu). Ia boleh menjadi suatu yang tercela dan membahayakan kerana ia menjadi sebab atau alat untuk penindasan ilmiah pada zaman sekarang ini. Ia juga menjadi sebab kebergantungan pembawanya kepada mencari kerja melalui helah keilmuan, sedangkan para ulama’ terdahulu, sebelum adanya ijazah, hidup sebagai usaha sendiri dan menyebarkan ilmu dengan ikhlas, maka fikirkanlah dengan mendalam..

Adalah ilmu pada masa dahulu selalu bertambah dan ulama’ selalu dalam kemuliaan dan mempunyai kedudukan. Kata-kata mereka didengar, arahan-arahan mereka ditaati, bukan hanya ditaati oleh orang awam bahkan raja-raja, khalifah, dan orang-orang yang berpangkat.. Wallahualam”  


Sebagai pesananku kepada kalian yang menuntuti ilmu agama : 

- Carilah ilmu agama dengan hati yang ikhlas. Ikutilah jalan-jalan ulama' terdahulu salafunassoleh dalam perjalanan mencari ilmu. Belajarlah ilmu daripada guru-guru yang beramal dengan ilmunya. Jangan engkau anggapkan bahawa engkau telah mempelajari ilmu agama sekiranya dahulu engkau belajar sedang hatimu tidak ikhlas, maka sekarang hendaklah engkau cari ilmu itu dengan hati yang bersih. 


- Berhati-hatilah dengan tipudaya ijazah yang ada pada hari ini, jangan jadikan ijazah itu sebagai ilmu pada diri engkau dan diri orang lain. Dengan makna, apabila engkau telah memperolehi ijazah, berlaku adillah pada dirimu dengan tahap keilmuanmu, jangan malu untuk berkata "tak tahu" pada perkara yang engkau tidak tahu. 

- Juga pada gurumu, jangan engkau memilih gurumu kerana sijilnya (kelepasan universitinya, PHDnya, atau Masternya, atau belajar ditanah Arab). Tetapi pilihlah gurumu itu kerana ilmunya dan waraknya.